PENGENALAN ILMU KETAMADUNAN
1.1 Pengertian Tamadun Islam
Apabila membincangkan tentang Tamadun Islam perkara yang penting ialah memberi pengertian tentang makna Tamadun, makna Islam dan makna Tamadun Islam dari segi bahasa dan juga dari sudut istilah.
Apabila membincangkan tentang Tamadun Islam perkara yang penting ialah memberi pengertian tentang makna Tamadun, makna Islam dan makna Tamadun Islam dari segi bahasa dan juga dari sudut istilah.
1.1.1 Bahasa
Dari sudu bahasa Tamadun ertinya kemajuan atau civilization. Perkataan “tamaddun” adalah dari bahasa Arab yang telah diterima pakai sebagai salah satu daripada perkataan dalam Bahasa Melayu. Perkataan lain yang telah digunakan oleh sarjana-sarjana bagi menunjukkan erti “tamadun” ini seperti ‘umran, hadharah dan madaniah.
1.1.2 Istilah
Dari sudut istilah pula Tamadun Islam ertinya kemajuan yang telah dicapai oleh umat Islam dalam aspek kerohanian dan kebendaan dengan berpandukan kepada al Quran dan al Sunnah Rasulullah s.a.w. Tamadun Islam menekankan kepada kemajuan kebenaan dan kerohanian secara serentak. Tamadun Islam adalah lahir daripada agama Islam sendiri. Dalam perkataan lain agama Islam-lah yang melahirkan Tamadun Islam. Berbeza dengan tamadun-tamadun lain yang melahirkan agama mereka.
1.2 Asas Tamadun Islam
Tamadun Islam mempunyai beberapa asas yang penting dalam mewujudkan pembangunan kebendaan dan kerohanian umat Islam iaitu asas keimanan, asas ‘ubudiyah, asas syariah dan asas akhlak. Keempat-empat asas ini adalah berperanan serentak dalam kehidupan umat Islam. Ianya tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Kemajuan sama ada kebenaan atau kerohanian umat Islam hendaklah bertunjankan kepada keimanan atau akidah kepada Allah s.w.t. dalam masa yang sama ia adalah ibadah dan mengikut landasan syariah serta mempunyai nilai-nilai akhlak Islam yang murni berpandukan keapda al Quran.
1.2.1 Akidah
Dalam Tamadun Islam perkara asas ialah akidah iaitu memajukan muka bumi ini sama ada dari sudut kebendaan atau kerohanian hendaklah berasaskan kepada keimanan kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. Apabila seseorang itu beriman kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. maka segala usahanya adalah pasti kerana Allah s.w.t. dan niat ikhlas kerana Allah s.w.t.
Setiap umat Islam yang beriman kepada Allah s.w.t. mereka juga diwajibkan beriman kepada rukun-rukun iman yang lain iaitu percaya kepada kitab-kitab, malaikat-malaikat, nabi-nabi dan rasul-rasul, hari akhirat dan qada qadar. Kesemua rukun iman berlaku serentak dalam diri.
Seseorang yang percaya kepada kewujudan malaikat akan sentiasa berhati-hati melakukan aktiviti. Malaikat sentiasa patuh dan taat perintah Allah s.w.t. Malaikat merupakan contoh makhluk yang sentiasa taat perintah Allah s.w.t. Oleh itu segala aktiviti hendaklah mengikut perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan segala laranganNya. Malaikat juga diberikan tugas seperti mencatat amalan manusia, memberi rezeki kepada manusia, mencabut nyawa, memikul arasy, menjaga syurga, menjaga neraka dan sebagainya. Mereka sentiasa patuh perintah Allah s.w.t.
Selain itu pemakmur muka bumi ini beriman kepada kitab-kitab yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi panduan manusia dalam memakmurkan muka bumi ini. Garis panduan itu berupa perintah suruhan dan larangan. Kitab yang masih asli hingga hari ini ialah al Quran. Di dalam al Quran dimuatkan segala peraturan hidup untuk kejayaan manusia di dunia dan di akhirat. Untuk mencapai tamadun yang tinggi manusia tidak dapat lari dari mengamalkan al Quran yang menjadi panduan hidup dunia dan akhirat.
Keimanan kepada rasul-rasul merupakan perkara penting dalam mentamadunkan muka bumi ini. Dengan keimanan itu akan menjadikan rasul sebagai contoh manusia yang terbaik di sisi Allah s.w.t. dalam membangunkan muka bumi.
Manusia yang sesat dari ajaran Allah s.w.t. adalah mereka yang tidak memperdulikan ajaran yang dibawa oleh nabi dan rasul. Sebagai contoh walaupun Fir’aun membangunkan bandar Mesir dengan kemajuan piramit yang kita dapat saksikan hingga hari ini tidak dianggap bertamadun kerana mereka tidak beriman kepada nabi.
Demikian juga di zaman kini nabi Muhammad s.a.w. adalah nabi dan rasul yang terakhir membawa ajaran Islam serta menjadi contoh kepada manusia seluruhnya. Jika ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. tidak dihiraukan maka kemajuan yang dicapai itu tidak akan bermakna sama sekali di sisi Allah s.w.t.
Kepercayaan kepada hari akhirat juga asas kepada tamadun. Setiap umat Islam yang dianggap bertamadun ialah mereka yang sentiasa memikirkan tentang hari pembalasan. Oleh kerana itu apa aktiviti yang dilakukan hendaklah bermuhasabah atau mengkaji adakah diredhai oleh Allah s.w.t. atau tidak. Jika mereka tidak mahu memikirkan perkara itu maka manusia akan melakukan kerosakan di muka bumi ini kerana terikut-ikut dengan kehendak hawa nafsu mereka.
Keimanan kepada qada dan qadar juga asas tamadun kerana dengan keimanan kepada qada dan qadar itu umat Islam tidak akan mudah berputus asa menghadapi kesulitan yang ada. Di samping berusaha dengan gigih umat Islam sentiasa menyerahkan kepada Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t. yang lebih mengetahui segala-galanya. Orang yang tidak beriman kepada takdir akan berasa keciwa atas segala usaha yang mereka lakukan tidak berhasil. Pada hal jika mereka melakukan dengan ikhlas dan berserah kepada Allah s.w.t. maka walau pun kurang berhasil oleh kerana beriman kepada takdir ini mereka yang akan bersabar dan atas kesabaran itu mereka akan dapat pahala di sisi Allah s.w.t.
1.2.2 Ibadah
Tujuan manusia hidup di atas muka bumi ini adalah semata-mata beribadah kepada Allah s.w.t. Itulah tujuan asal kehadiran mereka membangunkan muka bumi mengikut perintah Allah s.w.t. Maka semua aktiviti manusia sama ada yang berupa urusan agama atau dunia semuanya adalah dikira sebagai ibadah. Membangunkan muka bumi juga dianggap sebagai ibadah jika ia dilakukan semata-mata niat mencari keredhaan Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w. adalah merupakan contoh yang terbaik dalam memakmurkan muka bumi iaitu ketika baginda berhijrah ke Madinah pertamanya ialah membina masjid kedua mempersaudarakan puak-puak yang bertelagah dan menetapkan perlembagaan atau undang-undang negara. Rasulullah s.a.w. telah membimbing para sahabat supaya berniaga cara yang betul seperti tidak ada penipuan atau riba. Baginda s.a.w. membimbing cara bercucuk tanam, menternak dan sebagainya sesuai dengan kehendak Allah s.w.t. iaitu bimbingan mengeluarkan zakat, sedekah dan membelanjakan keapda jalan yang diredhai Allah s.w.t. Kesemua ini adalah dianggap sebagai ibadah di sisi Allah s.w.t.
1.2.3 Syariah
Tamadun Islam adalah tamadun yang berlandaskan keapda syarak. Al Quran dan al Hadith adadalah sebagai rujukan utamal dalam memajukan muka bumi ini. Tamadun dalam politik, ekonomi, pertanian, perniagaan dan sebagainya adalah berlandaskan kepada pimpinan al Quran dan al Hadith.
Walaupun tidak semua perkara ada di dalam al Quran dan al Hadith tetapi jika melalui proses ijtihad kita akan menemui peraturan-peraturan berkenaan selagi mana kita ikhlas kepada Allah s.w.t. untuk mengikut hukum Allah s.w.t. Pintu ijtihad sentiasa terbuka keapda umat Islam untuk mencari kaedah dan hukum yang baru kerana terdapat perkara-perkara baru muncul seperti masalah internet, elektronik, comunikasi, klon dan sebagainya.
Terdapat berbagai-bagai bidang yang diterokai oleh manusia yang tidak ada di zaman Rasulullah s.a.w. seperti pembinaan, perkapalan, angkasa lepas, penerbangan, komputer dan sebagainya yang memerlukan pemahan yang tajam dari sudut syariat. Maka ini telah memberi peluang kepada umat Islam supaya berijtihad bagi membangunkan Islam dan umat Islam demi mencari keredhaan Allah s.w.t.
1.2.4 Akhlak
Akhlak merupakan perkara yang amat penting dalam ajaran Islam. Membina tamadun mestilah berasaskan keapda akhlak. Tanpa akhlak yang mulia tidak akan bermakna tamadun manusia. Dalam lain perkataan tanpa akhlak yang mulia manusia tidak akan mencapai ketamadunan. Tamadun Islam adalah tamadun yang seimbang antara kebendaan dan kerohanian. Kerohanian adalah suatu yang penting merangkumi akidah, syariat dan akhlak umat Islam. Tamadun yang lahir adalah diwarnai oleh akhlak umat Islam. Jika umat Islam mempunyai akhlak yang murni maka hasilnya juga adalah murni.
Dalam Islam telah dihuraikan dengan panjang lebar mengenai akhlak ini termasuklah dalam membincangkan tentang tajuk-tajuk sifat-sifat yang mahmudah iaitu sifat yang wajib ada pada diri setiap muslim seperti sifat sabar, syukur, ikhlas, tawakkal, takwa, zuhud, zikrilmaut, istiqamah, pemaaf, sopan santun, merendah diri, berkasih sayang, redha, meredhai dan sebagainya. Semua sifat-sifat terpuji atau mahmudah ini perlu ada kepada setiap umat Islam. Kepada umat Islam yang menjiwai sifat yang terpuji ini mereka akan melahirkan diri yang soleh, keluarga yang soleh dan masyarakat yang soleh. Dengan itu akan lahirlah negara yang berkat. Melalui inilah tegaknya Tamadun Islam atas dasar akhlak yang mulia. Sebaliknya Tamadun Islam akan hancur jika umat Islam mengabaikan akhlak mulia seperti dengki, bakhil, sombong, ‘ujub, riya’, gopoh, malas, tamak, khianat, dusta, mungkir janji, menjatuhkan maruah orang lain, rasuah, riba, penipuan, mencuri, melaga-lagakan sesama sendiri dan sebagainya.
1.3 Sumber Tamadun Islam
1.3.1 Al Quran
Sejarah: al Quran telah mejelaskan tentang tamadun yang lalu seperti ‘Ad, Thamud, Fir’aun dan kemajuan Saba’
Seimbang: al Quran mengajar manusia supaya hidup bertamadun yang seimbang antara kemajuan kebendaan dan kerohanian.
Sosial: al Quran membimbing tamadun hidup manusia dengan berpandukan kepada hukum yang telah ditetapkan supaya kehidupan mereka sentiasa terjamin dari sudut agama, nyawa, harta, maruah dan keturunan.
Politik: al Quran telah membimbing tamadun manusia dari sudut politik dengan menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai contoh seorang ketua negara kemudian diikuti pula dengan khulafa al Rasyidin seterusnya hingga kini. Setiap pemimpin yang bertamadun sentiasa mengikut garis panduan kepimpinan negara seperti yang terdapat dalam al Quran.
Ekonomi: al Quran telah mentamadunkan ekonomi manusia dengan berbagai-bagai peraturan antaranya larangan riba, rasuah, penipuan dalam timbangan dan larangan mencuri. Islam menghalalkan jual beli, bercucuk tanam, menternak dan sebagainya.
1.3.2 Al Hadith
Dari sudut bahasa Hadith ertinya percakaan. Sunnah ertinya cara hidup. Dari sudut istilah hadith atau sunnah ertinya segala yang keluar dari Rasulullah s.a.w. sama ada percakapan, perbuatan atau pengakuan terhadap para sahabat baginda.
Rasulullah s.a.w. sebagai model yang baik dalam politik, ekonomi, sosial, pendidikan, kekeluargaan, ketenteraan dan sebagainya. Berdasarkan wahyu ilahi baginda telah menunjukkan contoh teladan yang baik melalui perkataan, perbuatan dan tingkah laku baginda s.a.w.
Dalam bidang Politik Islam baginda Rasul s.a.w telah memperlihatkan kepada sahabat tentang politik yang bertamadun. Dalam politik Rasul s.a.w. tidak ada unsur penindasan, kezaliman, penganayaan dan sebagainya. Sebaliknya baginda telah menunjukkan sikap yang adil, pemurah, penyayang, belas kasihan, lemah lembut, tolak ansur, berjiwa rakyat, tiada kasta dan sebagainya.
Dalam bidang Ekonomi Islam pula Rasul s.a.w. telah menunjukkan contoh teladan yang amat baik dalam ekonomi. Baginda sering pergi ke pasar dan sentiasa menasihati peniaga-peniaga supaya tidak menipu dan riba dalam perniagaan. Rasul s.a.w. pernah pergi ke ladang kurma untuk memberi bimbingan dan nasihat tentang kewajipan mengeluarkan zakat, sedekah dan sebagainya. Selain dari itu Rasul s.a.w. telah memperkenalkan sistem baru dalam ekonomi seperti sistem zakat, sedekah, wakaf, faraidh, baitulmal, ghanimah, fai', kharaj dan sebagainya.
Dari segi sosial pula Rasul s.a.w. telah menjelaskan tentang tamadun dalam hubungan sosial. Baginda s.a.w. adalah sebagai contoh yang terbaik dalam keluarga dan tetanga. Hingga baginda mengatakan bahawa tidak beriman seseorang kamu hingga kamu menghormati jiran tetanga. Rasul s.a.w. juga menggalakkan supaya ada hubungan silaturrahim sesama masyarakat Islam.
Penjelasan tentang syariat islam
SEJARAH PERKATAAN DAN DEFINISI SYARIAT
Syariat (ataupun Syariah) merupakan perkataan dari bahasa arab yang bermaksud sumber air yang mengalir atau binatang untuk diminun. Kemudian kata tersebut digunakan untuk pengertian; Hukum-hukum yang diturunkan Nya untuk umat manusia (hamba-Nya) . Perkataan syra’a bererti menggunakan syariat. Selain dari itu istara’a juga mempunya makna yang serupa dengan syariat.
Dari segi istilah seperti yang dinyatakan di dalam buku Pengantar Syariat Islam yang ditulis oleh Prof. Dr. Achmad El Ghandur, syariat merupakan Hukum (peraturan) yang diturunkan Allah SWT melalui rasul-rasul Nya yang mulia, agar mereka keluar dari kegelapan ke dalam terang dan mendapar petunjuk ke arah jalan yang lurus.
Di dalam buku itu juga beliau membuat kesimpulan iaitu syariat Islam merupakan hukum dan peraturan yang diturunkan oleh Allah SWT untuk umat manusia melalui Nabi Muhammad SAW samada Al quran ataupun sunah Nabi dalam bentuk perkataan, perbuatan dan ketetapan.
SEBAB MENGAPLIKASIKAN HUKUM ALLAH (SYARIAT)
Maksud mengaplikasikan hukum-hukum Allah SWT (syariah) adalah berpegang teguh dan mengamalkan ajarannya secara total sebagaimana yang terkandung di dalam Al-Quran dan Al-Hadis buat selama-lamanya dan melaksanakan dalam segala aspek kehidupan di dunia sebagai pantulan untuk mencapai kecemerlangan di alam akhirat. Syariah adalah asas kepada perundangan Islam dan ianya bersifat tetap dan mutlak.
Pada Zaman Jahiliyah dahulu, seolah-olah undang-undang tidak pernah wujud, di mana peraturan yang ada hanya mengikut hawa nafsu semata-mata. Sesiapa yang kuat, maka dialah yang berkudrat, sebaliknya yang lemah dan kalah, mereka itu menjadi mangsa.
Hukum hanya untuk rakyat, sedangkan pihak penguasa seolah-olah kebal di sisi undang-undang. Justeru itulah perhambaan telah bermaharajalela di sana sini, terutama terhadap masyarakat Badwi yang berkulit hitam.
Sebaik sahaja Nabi Muhammad diutus menjadi Rasul, maka Baginda diperintah Allah SWT untuk mencanang prinsip hukum keadilan secara menyeluruh untuk membanteras peraturan-peraturan Jahiliah yang berlaku dikalangan masyarakat Quraisy dan sekaligus menegakkan hukum yang berdasarkan Al Qur'an dan Al Hadis. Undang-undang ini tidak terbatas kepada golongan, negeri, atau negara tertentu sahaja, malah ianya berjalan ke atas semua orang di mana sahaja mereka berada tanpa kecuali, kerana ianya merangkumi segenap bidang kegiatan masyarakat sehingga sampai kepada masalah-masalah kenegaraan. Dengan tertegaknya undang-undang tersebut, maka manusia tidak berhak lagi meminda apa-apa hukum yang terkandung di dalamnya, seperti, menghalalkan benda yang haram, atau sebaliknya mengharamkan benda yang halal. Setiap individu, tanpa mengira pangkat dan kedudukan, wajib meyakini dan mematuhi undang-undang sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri.
CARA-CARA RASULLAH MENGAPLIKASIKAN HUKUM ALLAH
1. Prinsip persamaan manusia dalam aspek hukum hakam.
Islam yang terkenal dengan sifat adil telah meletakkan kedudukan setiap manusia sama dari segi undang-undang tanpa dipengaruhi oleh faktor keturunan, pangkat, kekayaan, dan sebagainya. Jika yang bersalah itu seorang penguasa atau rakyat jelata, maka tetap dikenakan tindakan undang-undang, sebagaimana ditegaskan oleh Rasullah s.a.w dalam sebuah Hadis kepada anaknya sendiri, sebagai berikut:
Pengertian:
"Jika Fatimah (anakku) mencuri, maka aku sendiri akan potong tangannya. "
Oleh itu, Islam mengecam sikap sebahagian manusia yang menyalah gunakan
kuasa dalam menjatuhkan hukuman sehingga berlaku ketidak adilan terhadap seseorang, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Maadiah, ayat 8, seperti berikut:
pengertiannya:
"... Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa... "
2. Prinsip keteladanan.
Nabi Muhammad bukan sahaja telah dipilih oleh Allah SWT menjadi seorang Rasul, malah dia juga merupakan pemimpin ummah. Sebagai seorang pemimpin, baginda bukanlah hanya bertindak memerintah atau melarang orang lain daripada melakukan sesuatu tanpa menunjukkan contoh teladan atau mengerjakan sesuatu terlebih dahulu. Prinsip keteladanan ini dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dalam segala aspek kehidupan, baik bidang ubudiyah (ibadah) , muamalah juga sebagai seorang Rasul, pemimpin, suami, dan sebagai seorang ayah.
Model yang ditonjolkan itu adalah merupakan teras kejayaan kepimpinan
seseorang untuk menghasilkan sesuatu yang cemerlang dan bertamadun dalam segenap bidang. Sebaliknya Islam amat mengecam seseorang yang hanya pandai berkata-kata bahawa perkara itu benar dan perkara itu salah, tetapi tidak merealisasikannya dalam kehidupan sehari-hari, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah AshShof, ayat 3, seperti berikut:
Pengertiannya:
"Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. "
3. Prinsip Elastisiti (keanjalan) .
Islam adalah satu-satu agama, dimana ajarannya banyak bertoleransi berbanding dengan ajaran-ajaran/ doktrin agama lain. Prinsip elastisiti dalam Islam di bahagikan kepada tiga, iaitu:
a. Iaitu meringkan/ mengurangkan beban.
Seperti: Solat zohor, solat asar, dan solat isyak. Masing-masing jumlah rakaatnya empat. Tetapi boleh dilakukan dua rakaat dikala musafir. Begitu juga dibenarkan menjamak solat zohor dengan solat asar, dan solat maghrib dengan solat isyak.
b. Iaitu meniadakan beban.
Seperti: Cara mengerjakan solat. Solat ialah suatu ibadah yang wajib dilakukan jika cukup syarat-syaratnya. solat tidak boleh ditinggalkan. walau dalam keadaan apa sekali pun. Berdiri bagi yang berkuasa adalah termasuk dalam rukun solat, tetapi boleh dilakukan secara duduk, berbaring, dalam hati dan dengan cara apa sahaja, jika tidak berkuasa/ uzur. Jika seseorang itu tidak boleh solat di dalam hati, maka dia tidak diwajibkan lagi untuk mengerjakan solat, malah dia disolatkan oleh orang lain (meninggal dunia) .
c. Iaitu secara bertahap dalam menerapkan hukum.
Islam terkenal dengan agama toleransi dalam sesuatu perkara, terutama dalam selok belok kehakiman. Sebelum kedatangan Islam, arak itu telah menjadi darah daging orang Arab Jahiliyah. Sebaik sahaja berkuasa, maka Islam tidak mengharamkan sekaligus melainkan secara beransur-ansur sehingga tiga tahap, sebagai berikut:
Tahap Pertama.
Islam memberitahu bahawa meminum arak itu adalah berdosa besar dan akibat buruknya terhadap kesihatan mental serta fizikal manusia lebih banyak berbanding dengan manfaat, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 219 sebagai berikut:
Pengertiannya:
"Mereka bertanya kepada kamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: pada kedua-dua terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar dari manfaat. "
Tahap Kedua.
Islam melarang umatnya mengerjakan solat ketika mabuk, dan jangan minum arak apabila hendak solat. Sebagaimana firman Allah, dalam surah An Nisa' ayat 43, sebagai berikut:
Pengertiannya:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan. "
Tahap Ketiga.
Pada tahap ini umat Islam telah kuat imannya, maka barulah Allah SWT menegaskan laranganNya bahawa arak itu hukumnya haram di sisi Islam kerana ianya adalah perbuatan syaitan yang terkutuk, sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah Al Maaidah ayat 90 sebagai berikut:
Pengertiannya:
"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib (dengan panah) adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kecemerlangan. "
Begitulah cara Islam merevolusikan ajarannya di bidang hukum, yang mana pihak penganjur dan yang dianjurkan sama-sama mentaatinya. Islam berpegang bahawa semua ummah manusia adalah sama di sisi Allah SWT. Dengan demikian, maka akhirnya undang-undang Islam yang dibawa dan disampaikan Baginda Rasulullah s.a.w tidak dapat dipertikaikan kewibaannya dan mempunyai ketamadunan yang tinggi yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana ajaran agama lain di dunia sehingga dewasa ini. Akhir sekali undang-undang Islam amat berwibawa dan mempunyai maruah yang tinggi di kalangan masyarakat, terutama terhadap Allah SWT.
SYARIAT ISLAM SEBAGAI ASAS TAMADUN ISLAM
Allah S.W.T. menggalakan agar umat manusia berusaha bagi mencapai kemajuan dalam semua aspek smada dunia atau akhirat yang berlandaskan syariat Islam. Sebagai Khalifah yang dipertanggungjawabkan, manusia perlu melaksanakan tugasnya dengan penuh dedikasi dan juga beribadah kepada-Nya.
Islam telah memperkenalkan peraturan dan undang-undang yang sempurna dan lengkap bagi membantu manusia dalam hal tersebut. Ini bermaksud bahawa syariat yang dibawa oleh Rasulullah dapat membantu seluruh umat manusia bagi mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan juga akhirat.
Tiga perkara penting yang ditekankan dalam syariat Islam untuk mencapai kemajuan dalam membentuk tamadun dan keselamatan hidup di dunia ialah dalam aspek ekonomi, politik, dan sosial.
PERUNDANGAN: ASAS PENTING DALAM ISLAM
Islam adalah "DIN" iaitu sistem hidup yang menyeluruh. Secara mudah ia boleh dibahagikan kepada tiga aspek utama, iaitu "akidah" ataupun pegangan hidup "Syariah", iaitu sistem hidup dan akhlak iaitu nilai hidup. Bagaimanapun pembahagian ini tidak benar-benar tepat. la sekadar boleh atau berguna untuk dijadikan petunjuk tentang kedudukan "perundangan" dalam Islam.
"Perundangan" adalah sebahagian daripada "Syariah". la secara umum "apa yang harus dan apa yang tidak harus dilakukan oleh seseorang sejauh mengenai "hak" dan "tanggungjawab" (obligasi) dalam masyarakat". Sepertimana telah ditarik perhatian di atas, dalam Islam ia samada bersifat sistem nilai yang berkuatkuasakan berasaskan keagamaan atau yang dikuatkuasakan melalui institusi pemerintahan yang tertentu, terutamanya institusi penguatkuasaan dan pengadilan.
Sebagai sebahagian daripada sistem hidup, "perundangan" adalah suatu sistem nilai yang paling lentur atau flaksibal dalam syariat Islam, berbanding dengan "akidah" dan "akhlak" yang bersifat lebih ideal dan dogmatik. Pembinaannya berasaskan kepada dua unsur iaitu unsur "wahyu" dan unsur "realiti" hidup. Kenyataan bahawa "undang-undang" itu mencerminkan cita-cita masyarakat sebahagiannya betul sejauh mengenai "perundangan" Islam. Malah, apa yang dikenali sebagai "undang-undang lazim" (common Law) di barat teorinya ada dalam perundangan Islam dalam doktrin "Ulf' iaitu "Kelaziman".
Bagaimanapun, dalam Islam, "perundangan" tidak terlepas daripada nilai keagamaan. Konsepnya, sekularisme tidak diperakui dalam Islam, dimana semua hal perlu dikaitkan dengan nilai agama, walau bagaimana dominan sekalipun asas realiti hidupnya.
Dilihat dari sudut ini, penilaian terhadap "perundangan" sebagai satu aspek yang tersendiri hanya berasas dari kacamata akademik semata-mata. Dari segi keagamaan ia kurang dapat di wajarkan.
Dari segi sejarahnya, pembinaan aspek "perundangan" dalam Islam berkembang selaras dengan pembinaan aspek-aspek lain. Cuma dalam sejarah awal Islam ia terkemudian sedikit daripada aspek "akidah" dan "akhlak". Sepertimana termaklum, dalam era "Mekah" wahyu lebih menumpukan kepada aspek "akidah" iaitu pembinaan asas pegangan hidup dan "akhlak" iaitu pembentukan peribadi mulia. Dalam era "Madinah" barulah tumpuan diberikan kepada "Syariah" kerana masyarakat dan negara Islam sudah terbentuk.
Namun dalam perkembangan selanjutnya aspek perundangan ini boleh disifatkan lebih pesat. Ini mungkin kerana ia sangat diperlukan sejajar dengan perkembangan amalan Islam sendiri sebagai dasar masyarakat dan negara. Dari segi akademik juga ia kelihatan lebih pesat. Ini kerana, dalam keadaan yang sihat, akademik lebih bersifat sokongan logistik kepada realiti hidup dalam masyarakat dan negara.
Elok juga ditarik perhatian, sekadar bagi faedah tulisan ini, aspek perundangan Islam ini telah berkembang sejak zaman awal Islam lagi dan mencapai kemuncak perkembangannya di zaman pemerintahan Abbasiah. Dalam kepesatan perkembangan itu berbagai-bagai aliran telah lahir. Bukan empat, bukan sepuluh atau dua puluh, tetapi lebih banyak daripada itu. Paling dominan dipuncak perkembangan ialah empat mazhab Sunni, Maliki, Hanafi, Syafi'i dan Hambali.
Dalam perkembangan seterusnya, terutama dizaman lembab, mazhab Syafi'i terbahagi kepada dua aliran, iaitu aliran Baghdad dan aliran Khurasan. Antara tokoh aliran Baghdad ialah al-Syirazi, pengarang kitab al-Muhadzzab dan al-Nawawi, pengarang kitab Minhaj al-Talibin. Kedua-dua buku ini ialah yang menjadi asas utama kepada perkembangan pemikiran "perundangan Islam" di Nusantara.
SYARIAT ISLAM SEBAGAI AGENDA DALAM PEMBINAAN TAMADUN MELAYU
Ketentuan yang diambil oleh perlembagaan Malaysia bahawa Melayu semestinya beragama Islam memberi petunjuk yang jelas tentang kedudukan Islam dalam tamadun Melayu. Meskipun terdapat peruntukan-peruntukan lain yang menafikan Syariat Islam sebagai Undang-undang negara, namun perundangan Islam masih terjamin kedudukannya atas sifatnya sebagai sebahagian daripada ajaran dalam agama Islam. Malah, sedikit sebanyak kuasa yang diberikan kepada negeri-negeri untuk menguatkuasakan aspek-aspek tertentu dalam Syariat Islam sebagai Undang-undang negeri telah menjamin pengaruh Syariat Islam di negara ini tidak hilang terus.
Bagaimanapun, dalam agenda pembinaan tamadun realiti politik ini boleh dinafikan. Di bawah kuasa penjajahan Inggeris yang begitu beria-ia untuk melaksanakan undang-undang mereka secara total, nilai perundangan Islam masih dapat dikembangkan sebagai budaya rakyat. Seolah-olah, dalam keadaan tapak untuk berkuasa sebagai alat negara hilang, perundangan Islam boleh berkubu pada garisan adat dan budaya. Dalam pengertian inilah pengaruhnya dalam pembinaan tamadun terus kekal.
Sistem nilai tentang apa yang seharusnya dan apa yang tidak seharusnya dilakukan dalam masyarakat mempunyai pengaruh yang besar terhadap struktur masyarakat itu sendiri. Dengan kata lain, ia mempunyai pengaruh yang tebal dalam menentukan hala tuju masyarakat berkenaan, termasuk corak tamadun yang perlu dipupuk dan diperkembangkan. Keistimewaan Islam, berbanding dengan agama-agama lain banyak terletak pada sistem nilai ini. Boleh dikatakan keseluruhan agama lain sekadar menekankan soal metafizika sahaja, sedangkan bagi Islam realiti hidup atau dalam istilah lain, hidup duniawi juga termasuk dalam urusannya.
Dalam pembinaan seterusnya nilai Tamadun Melayu, aspek perundangan Islam ini perlu diambil kira. la sudah merupakan asas budaya yang kukuh dan mempunyai pengaruh yang tersendiri dalam masyarakat Melayu dalam pembinaan pandangan sejagat mereka. Adalah perlu kedudukannya dalam sifat undang-undang yang dikuatkuasakan melalui institusi pemerintahan diperluaskan. Sekurang-kurangnya sampai mengimbangi pengaruhnya sebagai nilai-nilai hukum yang membentuk budaya masyarakat.
Tanpa pengambilkiraan ini konflik akan berlaku antara hukum Islam sebagai satu keyakinan masyarakat dan norma-norma asing yang tidak dianuti tetapi dikuatkuasakan. Umum mengetahui konflik lebih membawa keburukan. Dalam kontek pembinaan tamadun Melayu, ia boleh melahirkan tamadun yang penuh dengan keserbasalahan atau jelasnya tamadun yang serba salah.
Penutup
Sejarah telah membuktikan bahawa kelahiran Islam telah membawa perubahan dan pembaharuan kehidupan manusia sejagat. Islam membawa manusia kembali kepada aqidah yang betul setelah mengalami hidup jahilliah Rasulullah berjaya mendidik, pengikutnya dan mampu membentuk mereka menjadi manusia yang berguna beriman, kuat beriman, berakhlak mulia sehingga mampu membangunkan tamadun yang baru dengan cenderung.
Fajar Islam telah menyinari seluruh pelusuk dunia sehingga menjadikan umat Islam zaman lampau telah membuktikan kemampuan mereka. Islam hadir secara berkesan dan praktikll dalam sejarah tamadun manusia. Ini adalah mereka berpegang teguh dengan ajaran Islam, gigih dan bersungguh melaksanakan.
Kehadiran Islam dengan kaedah-kaedah pembinaan tamadun telah memberi kesan yang sangat bermakna kepada tamadun manusia. Antara adab yang dapat membentuk keutuhan umat, setiap individu dalam masyarakat bersama-sama dalam perkara kebajikan dan amar makruf serta menghalang kejahatan nahi mungkar. Yang akan melahirkan permuafakatan adalah merupakan elemen terpenting, yang boleh membawa kepada kebaikan dan penyelesaian masalah dengan mudah, mengeratkan silaturrahim.
Islam adalah agama untuk dipraktikkan. Syariat Islam adalah syariat yang praktikal. Islam agama tamadun, Islam agama persaudaraan, Islam agama kemasyarakatan dan berbagai-bagai lagi ungkapan yang memperlihatkan 'world view' islam tiu sebagai agama untuk dijelmakan dalam kehidupan harian. Tentang hal ini Al quran banyak sekali memberikan penjelasan seperti gesaan supaya dilaksanakan hukum Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah
Islam sama sekali tidak dapat dipisah dari kehidupan dunia. Islam telah meletakkan satu asas yang kukuh dalam membentuk sistem bermasyarakat, bernegara serta bermuamalah sesama makhluk. Islam mempunyai prinsip-prinsip akhlaqnya yang unggul dan telah meletakkan darjat kemanusian di tempat yang wajar. Segala prinsip dan asas dalam membina sebuah masyarakat yang harmoni telah disusun dan diatur dengan begiut rapi dan teliti oleh Islam. Konsep bernegara dan pembangunan misalnya telah digaris oleh Islam dengan jelas untuk jadi panduan dan ikutan umat Islam dalam semua tempat dan zaman. Islam bukan sekadar membicarakan aqidah semata-mata tetapi aqidah dan amal. Amal yang beliau maksudkan di sini ialah melembagakan syariat Islam itu dalam kehidupan yang dijelmakan dalam bentuk praktikal. Islam tidak pernah menyuruh penganutnya mengkesampingkan hal-hal keduniaan atau survival manusia di dunia. Islam memberi galakan supaya manusia berusaha gigih untuk mendapatkan habuan dunia.
MATLAMAT UMUM TITAS
Secara umumnya matlamat utama tamadun Islam ialah untuk mengangkat Islam sebagai al-Deen iaitu satu cara hidup yang lengkap kepada manusia. Ia juga akan memaparkan keadilan sistem pemerintahan Islam yang pernah ditegakkan pada zaman Nabi Muhammad SAW, Khulafa’ AR-Rashidin dan pada zaman pemerintahan Islam yang seterusnya. Keadilan sistem pemerintahan Islam pada zaman awal kebangkitan Islam dapat dibuktikan melalui fakta-fakta sejarah yang telah disepakati oleh sejarawan. Ciri-ciri ketamadunan Islam yang telah dipaparkan melalui sistem pemerintahan Islam daripada pelbagai zaman sewajarnya difahami dan dihayati oleh semua generasi umat Islam dan bukan Islam.
OBJEKTIF TITAS
- Menyatupadukan rakyat Malaysia dan menerapkan nilai-nilai murni yang ada pada setiap tamadun di negara kita berteraskan tamadun Melayu.
- Meningkatkan persefahaman dan menimbulkan rasa hormat antara kaum di Malaysia.
- Membuka minda tentang Tamadun Dunia dan memahami aspek-aspek penting ketamadunan.
- Merintis jalan ke arah pemikiran global, kritis, rasional dan terbuka.
- Pendedahan fikiran ke arah toleransi, kasih sayang dan keamanan sejagat.
- Pengisian minda ke arah mencapai Wawasan 2020.





